29 Mac 2012

Di Sebalik Lagu Tema "Bersama Kita Pamerkan Kehebatan"

"Bersama Kita Pamerkan Kehebatan", merupakan tema Kejohanan Balapan dan Padang ke-44, 2012, dan lagu yang dipersembahkan berdasarkan tema tersebut merupakan lagu kejohanan yang dicipta pada kali ini. Pencipta lirik bagi lagu yang berkarismatik tersebut merupakan seorang Pegawai Cemerlang UPK, Pejabat Pelajaran Daerah Keningau, iaitu En. Delsum Abdullah.

Menurut beliau, lirik lagu yang dicipta olehnya membawa mesej tertentu terutamanya kepada para atlet yang bertanding. Melalui temu ramah ringkas yang dijalankan, katanya, antara mesej lirik tersebut adalah bagi mengalu-alukan kedatangan semua kontinjen dari seluruh negeri Sabah. Selain itu, lagu tersebut adalah sebagai dorongan untuk para atlet agar bersaing secara sihat dan bersemangat. Beliau juga ingin menyatakan hasratnya melalui lagu yang dicipta, memohon agar para atlet mempamerkan segala kebolehan yang ada supaya dapat melayakkan diri ke peringkat yang lebih tinggi. Tambahnya lagi, lirik lagu tersebut merupakan simbol ikrar untuk mereka mencapai sasaran baru di peringkat seterusnya iaitu menuju ke arah yang lebih cemerlang dengan mendapatkan pingat emas yang lebih banyak berbanding kejohanan sebelumnya. Akhir sekali, beliau berkata, dengan adanya kerjasama antara semua pihak nescaya mereka boleh bersaing dengan lebih mantap pada peringkat seterusnya sebagai sebuah pasukan hebat yang telah dibentuk bersama.

Ingin diselitkan sekali, mereka yang telah berjaya mencipta lagu dan melodi bersesuaian dengan lirik tersebut adalah merupakan seorang Pengerusi Teknik Muzik dan seorang Pengerusi Teknik Koir di Pejabat Pelajaran Daerah Keningau, iaitu En. Ronney Francis Marcillenus dan En. Michael Rajimin. Penyanyi asal lagu ini ialah En. Mohazar Iksham bin Mahat selaku Pengerusi Teknik Kebudayaan Pejabat Pelajaran Daerah Keningau.
En. Delsum Abdullah (penulis lirik)
En. Ronney Francis Marcillenus - Penggubah lagu dan melodi
En. Michael Rajimin - Penggubah lagu dan melodi
En. Mohazar Ikhsam Mahat - Penyanyi lagu "Bersama Kita Pamerkan Kehebatan".
Catatan dan gambar:
Melissa Mea Arcena, Jennifer Justin, dan Jeshilla Anastasia Julius (Wartawan Muda SMK Gunsanad)

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...